Monday 1 August 2016

Sentiasa Berasa Mahu Bahagia. Jangan Pernah Tidak Mahu.


tidak mahu
Tidak mahu | I’m only happy when it rains.

Apa jua yang kita lakukan kita perlu sentiasa berasa “mahu”.
Perkataan mahu ini adalah titik tolak kepada kesempurnaan, keikhlasan dan kecemerlangan apa jua yang kita usahakan itu. Lawan kepada mahu ialah "Tidak Mahu"
 
Bayangkan sahaja apabila kita tak inginkan sesuatu, bermakna kita tidak mahu.

Peratusan hati kita terhadap sesuatu usaha itu tidak jitu, tidak seratus peratus. Hasilnya tentulah kurang baik.

Di tengah-tengah antara mahu dan tidak mahu ini ialah, “mahu tidak mahu”. Yang ini lebih sulit sebab kedudukannya samar antara mahu dengan tak mahu.

Katalah pada suatu hari itu, kita bangkit dari tidur dengan berasa tidak selesa.

Tapi kita bangkit juga sedangkan kalau boleh kita “tak mahu”. Tidur lebih baik dan kita pun mengerling ke arah katil yang terpaksa ditinggalkan.Alangkah seronoknya kalau dapat tidur kembali.

Rasa tak mahu ini akan mempengaruhi seluruh kehidupan kita seterusnya.

Kita mengambil wudhuk dengan malas, sembahyang ala kadar dan membuat kerja sambil lewa. Senyuman dari keluarga atau sahabat kita terasa hambar dan malas hendak disambut.

Tiada orang yang berjaya dalam keadaan dirinya tidak pernah bersedia untuk berjaya. Jika berjaya, itu success by accident. Tiada yang peliknya dan tiada apa yang hendak dibanggakan.

Kembali kepada situasi perasaan tidak bahagia yang sering dialami oleh kita semua, ini sebenarnya berpunca dari kegagalan meletakkan perkataan “mahu” pada awalnya.

Rasa mahu bahagia perlu dijadikan hasrat, sasaran, target dan cita-cita, ditanamkan dalam hati dengan sebenar-benarnya.

Barulah seluruh tubuh dan fikiran tertumpu untuk merealisasikan sebarang impian.

Bagi orang yang mahu tiada jalan yang susah baginya. Apalagi dalam soal menentukan kebahagiaan hati. Ia hanyalah persoalan hati tanpa perlu banyak mengeluarkan modal ataupun pengorbanan.
Kalau hati sudah diberikan target untuk bahagia, ia tentu bahagia.
Tapi kalau hati sudah diracuni dengan rasa tidak mahu bahagia, sudah tentu benci, menyampah dan berasa kesal yang berlarutan, sudah tentulah bahagia tidak akan datang menjengah.

Bodoh sungguh menjadikan hidup penuh duri sedangkan belum tentu usia panjang lagi dan bahagia dapat dinikmati sesudah mati. Takut-takut di dunia tidak bahagia, di Akhirat pun demikian juga. Ironik

Jadi, sentiasalah berasa “mahu” untuk setiap perkara baik yang ingin kita lakukan.

Rasa “mahu tak mahu” akan hanya membuatkan hati kita berbolak balik dan meluaskan jurang keliru dan tidak tahu dalam minda kita.

Rasa “tak mahu” pula kekalkanlah pada perkara-perkara yang merugikan dan haram sahaja.

“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah hati akan menjadi tenang.” (Ar-Ra’d: 28)

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat.” (al-Baqarah:45)

No comments:

PETUA UNTUK HINDARI NYANYUK - DR HAMID ARSAT

Bolehkah mengelak penyakit nyanyuk ketika usia tua? Nyanyuk ini disebut dalam bahasa orang putih sebagai Alzheimer. Dalam bahasa M...

 
Copyright © 2017 Xhundara By Defea. All Rights Reserved. Designed by Cik Nurfarah.